Bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 amat
jelas terasa. Rata-rata anggota masyarakat khususnya ahli-ahli parti
politik sibuk membuat spekulasi tentang tarikh sebenar pilihan raya.
Sebahagian yang lain pula telah mula mempersiapkan kelengkapan dan
mengatur strategi bagi mempengaruhi sokongan para pengundi untuk
mengundi calon mereka dalam pilihan raya nanti.Dalam kesibukan anggota
masyarakat membincangkan isu-isu politik, SPR pula sedang berusaha
mempersiapkan segala bentuk kelengkapan seperti logistik, peralatan dan
sumber manusia. Tugas berat yang menanti SPR adalah memastikan para
pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi calon pilihan
mereka dengan tenang dan selesa. Lantas, segala yang dirancang semenjak
tahun 2011 perlu dilaksanakan seberapa segera bagi memastikan semua
keperluan telah tersedia sekiranya Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan
Negeri dibubarkan.
"Pengerusi SPR, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof sedang merasmikan taklimat kepada petugas pilihan raya"
Lantikan dan Latihan Kepada Petugas
Dalam pilihan
raya umum kali ini, dianggarkan sebanyak 240,000 orang petugas akan
dilantik oleh SPR bagi membantu melaksanakan proses pilihan raya. Mereka
yang dilantik akan melaksanakan peranan atas jawatan masing-masing
mengikut kategori tugasan yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Ada antara mereka akan dilantik untuk menguruskan secara langsung
proses pilihan raya sebagai Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus,
Ketua dan anggota Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR),
Penyelia Pusat Mengundi, Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian,
Kerani Mengira Undi, Pemandu Arah Pusat Mengundi dan Kerani Penyemak
Daftar Pemilih. Sebahagiannya pula adalah kumpulan sokongan yang
membantu dalam pengurusan pilihan raya tersebut seperti pemandu, pekerja
am dan penyambut tetamu. Bagi tujuan memastikan petugas yang dilantik
mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup bagi menguruskan pilihan
raya khususnya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, proses
pengundian dan pengiraan undi serta pendekatan dalam penyelesaian
masalah, SPR telah mengadakan sesi latihan kepada mereka bermula dari
bulan OKTOBER 2011. Sesi latihan ini dilaksanakan secara berperingkat di
seluruh negara. Latihan ulangan pula terpaksa dilaksanakan bagi
memaklumkan dan melatih petugas tentang beberapa perubahan yang telah
berlaku dalam proses pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal,
perubahan susun atur Tempat Mengundi dan penggunaan cap bagi
menggantikan penindik.
"Sesi latihan petugas-petugas yang akan bertanggungjawab semasa pilihan raya"
Penyediaan Daftar Pemilih
Bagi tujuan
menyemarakkan penyertaan rakyat dalam proses pilihan raya, SPR telah
mengadakan pelbagai usaha untuk menarik minat mereka mendaftar sebagai
pemilih. SPR telah memulakan langkah agresif mulai tahun 2011 dalam
mempromosikan urusan pendaftaran pemilih melalui siaran di media
televisyen dan radio selain mengedarkan bahan-bahan kempen seperti
risalah dan poster. Kaunter bergerak telah dibuka di tempat-tempat
strategik di seluruh negara melalui pelaksanaan program outreach di
peringkat negeri. SPR turut berkerjasama dengan agensi kerajaan dan
swasta dalam menggerakkan inisiatif menambah bilangan pemilih berdaftar.
Sebagai contoh, SPR bekerjasama dengan Media Prima bagi membuka kaunter
perkhidmatan dalam program JOMHEBOH dan menyertai program-program
anjuran agensi kerajaan seperti Perhimpunan Sejuta Belia.
Kaunter-kaunter yang dibuka bertujuan memudahkan orang ramai mendaftar,
menyemak dan mendapatkan konsultasi secara langsung daripada
pegawai-pegawai SPR. Usaha SPR tidak terhenti di situ, malahan turut
melibatkan usaha bagi melantik sejumlah besar penolong pendaftar pemilih
dalam kalangan ahli parti politik, agensi kerajaan dan anggota badan
bukan kerajaan untuk merealisasikan harapan menambah bilangan pemilih
berdaftar. Hasilnya, jumlah warganegara yang layak tetapi belum
mendaftar telah berjaya dikurangkan kepada 3 juta orang pada tahun 2012
daripada 4.3 juta orang pada awal tahun 2011.
Statistik Pengesahan DPT Suku Tahun 1/2012 pada 1 Jun 2012 mengikut negeri adalah seperti yang berikut:
Negeri
|
Jumlah
|
Perlis
|
133,741
|
Kedah
|
1,013,910
|
Kelantan
|
894,941
|
Terengganu
|
623,713
|
Pulau Pinang
|
826,148
|
Perak
|
1,383,008
|
Pahang
|
718,994
|
Selangor
|
1,977,420
|
W.P. Kuala Lumpur
|
775,555
|
W.P. Putrajaya
|
14,305
|
Negeri Sembilan
|
538,781
|
Melaka
|
431,463
|
Johor
|
1,558,410
|
W.P. Labuan
|
24,270
|
Sabah
|
946,638
|
Sarawak
|
1,051,293
|
Jumlah Keseluruhan
|
12,912,590
|
Usaha
pengemaskinian daftar pemilih pula dilakukan secara berterusan. Walaupun
terdapat banyak isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang
menyentuh tentang ketirisan pengurusan daftar pemilih, namun sokongan
masyarakat terhadap usaha menambah baik kualiti daftar pemilih dilihat
semakin bertambah. Ramai antara anggota masyarakat khususnya pengundi
telah tampil menggunakan saluran yang disediakan untuk membantu SPR
mengemaskinikan butiran maklumat atau mengeluarkan nama-nama pengundi
yang telah hilang kelayakan dengan memaklumkan tentang kekhilafan
maklumat dalam daftar pemilih atau maklumat hilang kelayakan waris
mereka. Tidak kurang juga yang bertanyakan tentang prosedur dan proses
penyediaan daftar pemilih. Peningkatan sokongan masyarakat ini
berkemungkinan disebabkan oleh program kesedaran yang dirancang oleh SPR
semenjak 2011 bermula dengan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih yang
telah diadakan pada Julai 2011.
Mengenalpasti Pusat Mengundi
Bagi memastikan
para pengundi dapat menunaikan tanggungjawab dengan efektif dan selesa,
pegawai-pegawai SPR telah mengadakan semakan terhadap premis-premis yang
difikirkan sesuai untuk dijadikan sebagai Pusat Mengundi, sama ada
untuk urusan pengundian awal mahupun pengundian biasa. Dijangkakan
sebanyak lebih 8,000 premis akan diwartakan sebagai Pusat Mengundi. SPR
turut mengemaskinikan lokaliti bagi setiap Daerah Mengundi. Proses ini
dilaksanakan dengan bantuan daripada Electoral Geographical Information
System atau singkatannya EGIS. Sistem komputer ini akan menyemak
kedudukan lokaliti-lokaliti yang berada di luar Daerah Mengundi dan
memaklumkan kepada petugas SPR untuk tujuan siasatan dan pembetulan.
Dengan adanya kaedah ini, semua pengundi yang berada dalam Daerah
Mengundi yang ditetapkan akan mendapat keselesaan untuk mengundi di
Pusat Mengundi yang paling hampir dengan tempat kediaman yang
didaftarkannya.
Pembangunan ICT
Bagi memberikan
perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat, pelbagai aplikasi baru
diwujudkan bertujuan menambah baik kualiti pengurusan pilihan raya kali
ini. Aplikasi ini dibangunkan mengikut cabang fungsi SPR. Dalam bidang
pendaftaran pemilih, aplikasi yang dibangunkan adalah Sistem Semakan Isi
Rumah, Sistem Semakan Mengikut Status Pendaftaran dan Sistem
Pengemaskinian Maklumat Alamat Pengundi Luar Negara. Aplikasi baru yang
dibangunkan dalam bidang penjalanan pilihan raya pula adalah Sistem
Penjumlahan Rasmi Undi, Sistem Pengurusan Maklumat Pilihan Raya Umum,
Sistem Peratusan Keluar Mengundi dan Sistem Paparan peta Keputusan
Pilihan Raya. Selain aplikasi baru, SPR turut bercadang membangunkan
portal khas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Logistik& Peralatan
Persiapan
logistik dan peralatan pilihan raya adalah sama penting dengan persiapan
operasi menghadapi pilihan raya. Menyedari hakikat tersebut, SPR telah
membuat persediaan bagi menyediakan perolehan logistik dan peralatan
ini. Dalam pilihan raya umum kali ini, dianggarkan sebanyak 50 pesawat
terbang diperlukan oleh SPR untuk membawa petugas-petugas ke
kawasan-kawasan pedalaman. Selain kapal terbang dan helikopter, SPR
turut memerlukan kenderaan darat, bot dan perahu untuk tujuan sama.Dari
sudut persiapan peralatan, sebahagian besar peralatan pilihan raya
telahpun diuruskan perolehannya pada tahun 2011. Sebahagian lagi sedang
diuruskan dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat
terutamanya yang melibatkan perubahan kepada proses pilihan raya seperti
dakwat kekal, perekat badan peti undi dan cap keselamatan.
"Helikopter antara pengangkutan udara yang digunakan untuk memudahkan urusan semasa pilihan raya"
Kempen Promosi & Kesedaran Pengundi
Bagi tujuan
memberikan kefahaman dan keyakinan kepada para pengundi untuk menunaikan
tanggungjawab dengan tenang dan selesa, SPR turut bercadang untuk
melaksanakan kempen kesedaran terhadap ketelusan proses pilihan raya.
Antara perkara yang menjadi fokus kepada kempen adalah penerangan
tentang penggunaan dakwat kekal, penerangan kepada proses pengundian
awal, kesedaran anti rasuah dalam pilihan raya dan galakan supaya keluar
mengundi. Adalah menjadi harapan SPR agar program kesedaran yang
dianjurkan mampu memberikan keyakinan kepada pengundi untuk melaksanakan
tanggungjawab mereka memilih calon dengan tenang, yakin dan efektif.
Sebagai
kesimpulan, SPR telah dan sedang melaksanakan semua perancangan yang
perlu dalam usaha untuk memastikan pengendalian pilihan raya kali ini
merupakan yang terbaik pernah dilaksanakan. Walaupun menghadapi tekanan
beberapa pihak yang bertujuan untuk menghakis imej dan keyakinan awam
terhadap SPR, namun tugas dan amanah yang diletakkan oleh rakyat tetap
digalas oleh SPR dengan dedikasi dan senyuman. Adalah diharapkan dengan
adanya bantuan dan kerjasama daripada semua pihak seperti agensi
kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan berserta dengan adanya
sokongan rakyat, segala bentuk persiapan yang dilaksanakan akan dapat
disempurnakan dalam masa terdekat bagi merealisasikan objektif
menjadikan PRU Ke-13 sebuah pilihan raya paling telus dan demokratik
yang diuruskan dengan cekap serta memuaskan hati majoriti rakyat.