Google Malaysia melancarkan imej Street View jalan-jalan awam di Sabah dan Sarawak, termasuk koleksi khas Taman Negara Mulu (https://goo.gl/ncB3Te)
Selepas pelancaran Street View di Semanjung Malaysia pada September tahun lalu, Google telah menerbitkan imej untuk hampir 80 peratus pemandangan sepanjang jalan awam di Sabah dan Sarawak.
Layari maps.google.com.my untuk memulakan pengembaraan.
Gambar (Dari Kiri ke Kanan): Hasanal Adbul Wahid, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerjasama Pelancongan, Kementerian Pelancongan Sarawak, Nhazlisham Hamdan, Ketua Operasi Street View di Google Malaysia, Thailand & Indonesia, YB Datuk Gramong Anak Juna, Penolong Menteri Pelancongan Sarawak dan Penolong Menteri Pembangunan Tanah dan Sajith Sivanandan, Ketua Pengurusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran-pasaran baru.
sumber
http://www.theborneopost.com/2015/07/30/kemas-kini-google-street-view-perkasa-industri-pelancongan/
KUCHING: Kemas kini ‘Google Street View’ yang meliputi 80 peratus kawasan Sarawak dan Sabah, termasuk imej panoramik Taman Negara Mulu dijangka akan terus memperkasakan lagi industri pelancongan di rantau ini.
Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna berkata, perkara itu tidak syak lagi akan meningkatkan keupayaan untuk mempromosikan pelancongan dan budaya yang pelbagai kepada dunia apabila pelancong berpeluang untuk melihat gambaran mengenai Malaysia Timur sebelum berpeluang menjejak kaki ke sini.
“Teknologi adalah salah satu faktor utama sektor ekonomi kita menjadi lebih produktif dan berjaya dan saya percaya ia juga tidak berbeza bagi industri pelancongan Malaysia.
“Justeru, saya amat berbesar hati kerana dapat berada di sini bagi melancarkan pengimejan ‘Street View’ di Malaysia Timur bersama pengimejan khas ‘Street View’ Taman Negara Mulu, yang merupakan tapak warisan UNESCO,” katanya pada program Pengumuman ‘Google Maps Street View’ di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu Sajith Sivanandan, Ketua Operasi Street View Google Malaysia, Indonesia dan Thailand Nhazlisham Hamdan dan Ketua Komunikasi Google Malaysia, Pakistan dan Bangladesh Zeffri Yusof.
Gramong berkata, teknologi inovatif seperti ‘Google Maps’ dengan ‘Street View’ dapat memberi gambaran menyeluruh kepada pengunjung mengenai betapa indah dan menariknya negara ini, malah sebelum mereka menjejakkan kaki ke sini.
Menurut beliau, ‘Street View’ adalah cara baik untuk mempamerkan khazanah tersembunyi Malaysia Timur seperti monyet Belanda serta bunga Rafflesia yang hanya dapat ditemui di Kepulauan Borneo.
“Kami juga berharap lebih banyak tarikan pelancong di Malaysia Timur seperti Taman Negara Gua Niah, Rumah Panjang Annah Rais, Gunung Santubong di Sarawak, Taman Negara Tunku Abdul Rahman di Sabah dan banyak lagi dapat dipamerkan di Koleksi Khas Google Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Sarith memberitahu, selepas pelancaran ‘Street View’ di Semenanjung Malaysia pada September tahun lalu, Google menerbitkan imej untuk hampir 80 peratus pemandangan sepanjang jalan awam di Sabah dan Sarawak, termasuk lebuh raya utama, jalan-jalan tol, jalan persekutuan, pusat bandar dan kawasan kejiranan.
Antara koleksi khas dipamerkan Google adalah seperti Muzium Kucing, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Jambatan Santubong di Kuching dan Tebingan Kota Kinabalu di Sabah yang mengambil masa enam bulan untuk dirakamkan.
Koleksi khas lain dicatat di Semenanjung Malaysia adalah seperti Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Putrajaya dan sebagainya yang dirakam menggunakan Street View Trekker iaitu sistem kamera disandang.
Katanya lagi, pihaknya akan terus berusaha menambah lokasi ‘Street View’ di Malaysia Timur bagi mempamerkan keindahan negara ini menerusi perkhidmatan disediakan mereka.
“Street View kini meliputi 80 peratus jalan-jalan awam di Sabah dan Sarawak, serta 90 peratus di Semenanjung Malaysia, kami berada di landasan terbaik untuk pemetaan seluruh negara dan menyediakan peta komprehensif, tepat, mudah digunakan dan menyeronokkan untuk rakyat Malaysia dan pengguna seluruh dunia,” katanya.
Dengan membawa ‘Street View’ ke Malaysia, katanya Google berharap dapat menyediakan rakyat Malaysia dengan perkhidmatan peta dalam talian lebih relevan dan berguna serta memberi lebih banyak cara untuk meneroka lokasi kegemaran tempatan serta lokasi tidak dikenali, pada masa sama membantu menyemarakkan pembangunan ekonomi negara melalui peta lebih baik.
Sarith menambah, Google merancang untuk terus memandu dan menjejak seluruh negara dengan objektif merakam imej-imej dikemas kini secara kerap dalam beberapa tahun akan datang.
Dalam soal keselamatan dan menjamin privasi katanya, Google mengambil langkah sewajarnya diambil dalam Google Maps dengan membangunkan teknologi sofistikated yang mengaburkan perkara wajar dan nombor pendaftaran kenderaan, katanya sambil menambah, pihak Google juga akan memberi maklum balas sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna untuk mengaburkan sebarang imej berkaitan mereka.
Google juga akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengumpul maklumat serta melakukan pemetaan.
Read more: http://www.theborneopost.com/2015/07/30/kemas-kini-google-street-view-perkasa-industri-pelancongan/#ixzz3i5K0KtGq
0 comments:
Post a Comment