06 August 2015

Tema & Logo Hari Kemerdekaan Malaysia 2015 #sehatisjiwa



Gambar logo dan tema Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan 2015 di Malaysia. Sehati Sejiwa dipilih menjadi tema utama Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 2015. Tema “Sehati Sejiwa” mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia. Bermula tahun 2015, Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan tidak lagi menggunakan ulang tahun seperti kali ke 28 tapi sebaliknya menggunakan tahun iaiti “2015”. Ianya untuk menyeragamkan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung kerana penggabungan Malaysia yang sebenarnya pada 16 September, dan 31 Ogos hanya melibatkan Semenanjung sahaja.

Sumber: Bernama


KUALA LUMPUR: #sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini. 
"Misalnya, gempa bumi di Sabah dan bencana alam seperti banjir besar yang berlaku di negeri-negeri Semenanjung baru-baru ini turut dirasai dan terkena tempiasnya oleh seluruh rakyat Malaysia. 
Perasaan ini seharusnya dirasai bersama. Sebab itulah tema #sehatisejiwa dipilih bagi melambangkan semangat kesepaduan tersebut yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada," katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, Sabtu. 
Ahmad Shabery berkata mulai tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun, sebaliknya mengikut tahun. 
"Ia dilihat sebagai prinsip kesamarataan antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak kerana penggabungan Malaysia yang sebenarnya pada 16 September, dan 31 Ogos hanya melibatkan Semenanjung sahaja," katanya. 
Pada majlis itu, turut diperkenalkan barangan sempena Hari Kebangsaan untuk jualan kepada orang ramai sebagai cenderahati. 
Selain itu, Ahmad Shabery turut membuat pelepasan konvoi Eksplorasi #sehatisejiwa yang melibatkan dua buah kenderaan Jabatan Penerangan, 10 buah kereta Proton terdiri daripada pelbagai model, 20 motosikal berkuasa besar dan sebuah lori yang bakal menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. 
Pelbagai aktiviti diadakan seawal pukul 8 pagi tadi sempena prapelancaran itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2015. 

Bulan Kemerdekaan

Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2015, beberapa acara akan diadakan sebelum tanggal 31 Ogos 2015. Semuanya boleh anda dapati dilaman sesawang khas JKMM iaitu http://31ogos.my/. Diantaranya adalah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015.



Erti Kemerdekaan

Sebagai tambahan, mari kita fahami maksud/erti kemerdekaan :
Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat.

Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme. - sumber
 


Namun begitu, Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.

Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.



 
Location: Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia

0 comments: