13 April 2013

PERSIAPAN MENGHADAPI PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 amat jelas terasa. Rata-rata anggota masyarakat khususnya ahli-ahli parti politik sibuk membuat spekulasi tentang tarikh sebenar pilihan raya. Sebahagian yang lain pula telah mula mempersiapkan kelengkapan dan mengatur strategi bagi mempengaruhi sokongan para pengundi untuk mengundi calon mereka dalam pilihan raya nanti.Dalam kesibukan anggota masyarakat membincangkan isu-isu politik, SPR pula sedang berusaha mempersiapkan segala bentuk kelengkapan seperti logistik, peralatan dan sumber manusia. Tugas berat yang menanti SPR adalah memastikan para pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi calon pilihan mereka dengan tenang dan selesa. Lantas, segala yang dirancang semenjak tahun 2011 perlu dilaksanakan seberapa segera bagi memastikan semua keperluan telah tersedia sekiranya Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

persiapan1
"Pengerusi SPR, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof sedang merasmikan taklimat kepada petugas pilihan raya"
Lantikan dan Latihan Kepada Petugas
Dalam pilihan raya umum kali ini, dianggarkan sebanyak 240,000 orang petugas akan dilantik oleh SPR bagi membantu melaksanakan proses pilihan raya. Mereka yang dilantik akan melaksanakan peranan atas jawatan masing-masing mengikut kategori tugasan yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka. Ada antara mereka akan dilantik untuk menguruskan secara langsung proses pilihan raya sebagai Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus, Ketua dan anggota Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), Penyelia Pusat Mengundi, Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian, Kerani Mengira Undi, Pemandu Arah Pusat Mengundi dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Sebahagiannya pula adalah kumpulan sokongan yang membantu dalam pengurusan pilihan raya tersebut seperti pemandu, pekerja am dan penyambut tetamu. Bagi tujuan memastikan petugas yang dilantik mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup bagi menguruskan pilihan raya khususnya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, proses pengundian dan pengiraan undi serta pendekatan dalam penyelesaian masalah, SPR telah mengadakan sesi latihan kepada mereka bermula dari bulan OKTOBER 2011. Sesi latihan ini dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara. Latihan ulangan pula terpaksa dilaksanakan bagi memaklumkan dan melatih petugas tentang beberapa perubahan yang telah berlaku dalam proses pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal, perubahan susun atur Tempat Mengundi dan penggunaan cap bagi menggantikan penindik.

persiapan3
"Sesi latihan petugas-petugas yang akan bertanggungjawab semasa pilihan raya"
Penyediaan Daftar Pemilih
Bagi tujuan menyemarakkan penyertaan rakyat dalam proses pilihan raya, SPR telah mengadakan pelbagai usaha untuk menarik minat mereka mendaftar sebagai pemilih. SPR telah memulakan langkah agresif mulai tahun 2011 dalam mempromosikan urusan pendaftaran pemilih melalui siaran di media televisyen dan radio selain mengedarkan bahan-bahan kempen seperti risalah dan poster. Kaunter bergerak telah dibuka di tempat-tempat strategik di seluruh negara melalui pelaksanaan program outreach di peringkat negeri. SPR turut berkerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta dalam menggerakkan inisiatif menambah bilangan pemilih berdaftar. Sebagai contoh, SPR bekerjasama dengan Media Prima bagi membuka kaunter perkhidmatan dalam program JOMHEBOH dan menyertai program-program anjuran agensi kerajaan seperti Perhimpunan Sejuta Belia. Kaunter-kaunter yang dibuka bertujuan memudahkan orang ramai mendaftar, menyemak dan mendapatkan konsultasi secara langsung daripada pegawai-pegawai SPR. Usaha SPR tidak terhenti di situ, malahan turut melibatkan usaha bagi melantik sejumlah besar penolong pendaftar pemilih dalam kalangan ahli parti politik, agensi kerajaan dan anggota badan bukan kerajaan untuk merealisasikan harapan menambah bilangan pemilih berdaftar. Hasilnya, jumlah warganegara yang layak tetapi belum mendaftar telah berjaya dikurangkan kepada 3 juta orang pada tahun 2012 daripada 4.3 juta orang pada awal tahun 2011.
Statistik Pengesahan DPT Suku Tahun 1/2012 pada 1 Jun 2012 mengikut negeri adalah seperti yang berikut:
Negeri
Jumlah
Perlis
133,741
Kedah
1,013,910
Kelantan
894,941
Terengganu
623,713
Pulau Pinang
826,148
Perak
1,383,008
Pahang
718,994
Selangor
1,977,420
W.P. Kuala Lumpur
775,555
W.P. Putrajaya
14,305
Negeri Sembilan
538,781
Melaka
431,463
Johor
1,558,410
W.P. Labuan
24,270
Sabah
946,638
Sarawak
1,051,293
Jumlah Keseluruhan
12,912,590
Usaha pengemaskinian daftar pemilih pula dilakukan secara berterusan. Walaupun terdapat banyak isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang menyentuh tentang ketirisan pengurusan daftar pemilih, namun sokongan masyarakat terhadap usaha menambah baik kualiti daftar pemilih dilihat semakin bertambah. Ramai antara anggota masyarakat khususnya pengundi telah tampil menggunakan saluran yang disediakan untuk membantu SPR mengemaskinikan butiran maklumat atau mengeluarkan nama-nama pengundi yang telah hilang kelayakan dengan memaklumkan tentang kekhilafan maklumat dalam daftar pemilih atau maklumat hilang kelayakan waris mereka. Tidak kurang juga yang bertanyakan tentang prosedur dan proses penyediaan daftar pemilih. Peningkatan sokongan masyarakat ini berkemungkinan disebabkan oleh program kesedaran yang dirancang oleh SPR semenjak 2011 bermula dengan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih yang telah diadakan pada Julai 2011.
Mengenalpasti Pusat Mengundi
Bagi memastikan para pengundi dapat menunaikan tanggungjawab dengan efektif dan selesa, pegawai-pegawai SPR telah mengadakan semakan terhadap premis-premis yang difikirkan sesuai untuk dijadikan sebagai Pusat Mengundi, sama ada untuk urusan pengundian awal mahupun pengundian biasa. Dijangkakan sebanyak lebih 8,000 premis akan diwartakan sebagai Pusat Mengundi. SPR turut mengemaskinikan lokaliti bagi setiap Daerah Mengundi. Proses ini dilaksanakan dengan bantuan daripada Electoral Geographical Information System atau singkatannya EGIS. Sistem komputer ini akan menyemak kedudukan lokaliti-lokaliti yang berada di luar Daerah Mengundi dan memaklumkan kepada petugas SPR untuk tujuan siasatan dan pembetulan. Dengan adanya kaedah ini, semua pengundi yang berada dalam Daerah Mengundi yang ditetapkan akan mendapat keselesaan untuk mengundi di Pusat Mengundi yang paling hampir dengan tempat kediaman yang didaftarkannya.
Pembangunan ICT
Bagi memberikan perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat, pelbagai aplikasi baru diwujudkan bertujuan menambah baik kualiti pengurusan pilihan raya kali ini. Aplikasi ini dibangunkan mengikut cabang fungsi SPR. Dalam bidang pendaftaran pemilih, aplikasi yang dibangunkan adalah Sistem Semakan Isi Rumah, Sistem Semakan Mengikut Status Pendaftaran dan Sistem Pengemaskinian Maklumat Alamat Pengundi Luar Negara. Aplikasi baru yang dibangunkan dalam bidang penjalanan pilihan raya pula adalah Sistem Penjumlahan Rasmi Undi, Sistem Pengurusan Maklumat Pilihan Raya Umum, Sistem Peratusan Keluar Mengundi dan Sistem Paparan peta Keputusan Pilihan Raya. Selain aplikasi baru, SPR turut bercadang membangunkan portal khas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Logistik& Peralatan
Persiapan logistik dan peralatan pilihan raya adalah sama penting dengan persiapan operasi menghadapi pilihan raya. Menyedari hakikat tersebut, SPR telah membuat persediaan bagi menyediakan perolehan logistik dan peralatan ini. Dalam pilihan raya umum kali ini, dianggarkan sebanyak 50 pesawat terbang diperlukan oleh SPR untuk membawa petugas-petugas ke kawasan-kawasan pedalaman. Selain kapal terbang dan helikopter, SPR turut memerlukan kenderaan darat, bot dan perahu untuk tujuan sama.Dari sudut persiapan peralatan, sebahagian besar peralatan pilihan raya telahpun diuruskan perolehannya pada tahun 2011. Sebahagian lagi sedang diuruskan dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat terutamanya yang melibatkan perubahan kepada proses pilihan raya seperti dakwat kekal, perekat badan peti undi dan cap keselamatan.

persiapan2
"Helikopter antara pengangkutan udara yang digunakan untuk memudahkan urusan semasa pilihan raya"
Kempen Promosi & Kesedaran Pengundi
Bagi tujuan memberikan kefahaman dan keyakinan kepada para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab dengan tenang dan selesa, SPR turut bercadang untuk melaksanakan kempen kesedaran terhadap ketelusan proses pilihan raya. Antara perkara yang menjadi fokus kepada kempen adalah penerangan tentang penggunaan dakwat kekal, penerangan kepada proses pengundian awal, kesedaran anti rasuah dalam pilihan raya dan galakan supaya keluar mengundi. Adalah menjadi harapan SPR agar program kesedaran yang dianjurkan mampu memberikan keyakinan kepada pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memilih calon dengan tenang, yakin dan efektif.
Sebagai kesimpulan, SPR telah dan sedang melaksanakan semua perancangan yang perlu dalam usaha  untuk memastikan pengendalian pilihan raya kali ini merupakan yang terbaik pernah dilaksanakan. Walaupun menghadapi tekanan beberapa pihak yang bertujuan untuk menghakis imej dan keyakinan awam terhadap SPR, namun tugas dan amanah yang diletakkan oleh rakyat tetap digalas oleh SPR dengan dedikasi dan senyuman. Adalah diharapkan dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada semua pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan berserta dengan adanya sokongan rakyat, segala bentuk persiapan yang dilaksanakan akan dapat disempurnakan dalam masa terdekat bagi merealisasikan objektif menjadikan PRU Ke-13 sebuah pilihan raya paling telus dan demokratik yang diuruskan dengan cekap serta memuaskan hati majoriti rakyat.

0 comments: